Taburan dan habitat Burung pucung seriap

Burung pucung seriap mempunyai taburan luas di sebahagian besar alam Paleartik. Taburan subspesies nominatnya, A. c. cinerea mencecah 70°U in Norway dan 66°U di Sweden, tetapi had utaranya sekitar 60°U di kawasan lain Eropah dan Asia, dan timurnya sejauh Pergunungan Ural. Taburannnya ke selatan mencapai Sepanyol utara, Perancis, Itali tengah, Balkan, Kaukasus, Iraq, Iran, India, Maldives dan Myanmar. Ia juga terdapat di Afrika di selatan Gurun Sahara, Kepulauan Kenari, Maghribi, Algeria, Tunisia, dan Kepulauan Mediterranean. Ia digantikan oleh A. c. jouyi di Siberia timur, Mongolia, China timur, Hainan, Jepun, dan Taiwan. Di Madagascar dan Kepulauan Aldabra [en] terdapat subpspesies A. c. firasa, manakala A. c. monicae terhad di Mauritania dan pulau-pulau luar pesisirnya.[10]

Burung pucung seriap adalah penetap di sebahagian besar kawasan taburannya, tetapi yang dari Eropah utara berhijrah ke selatan, ada yang kekal di Eropah tengah dan selatan dan ada juga yang terbang ke Afrika di selatan Gurun Sahara.[10]

Burung pucung seriap juga diketahui merayau ke kepulauan Caribbean, Bermuda, Iceland, Greenland, Kepulauan Aleut, dan Newfoundland, di samping beberapa kesaksian disahkan di bahagian lain Amerika Utara termasuk Nova Scotia dan Nantucket.[11]

Burung pucung seriap terdapat di mana-mana sahaja dalam kawasan taburannya di mana terdapat habitat berair yang dapat membekalkan makanannya. Jasad airnya mesti cukup cetek atau mempunyai pinggir melandai supaya burung dapat meranduk. Sungguhpun paling kerap ditemui di kawasan tanah pamah, namun ia juga terdapat di kori gunung, tasik, takungan, sungai, rawa, kolam, parit, air bah, lagun pinggir laut, muara, dan pantai laut. Ada kalanya ia mencari makanan jauh dari air, malah tercatat di kawasan gurung memburu kumbang dan cicak. Koloni membiak biasanya terletak berhampiran dengan tempat makan, tetapi juga boleh terletak berjauhan sejauh lapan kilometer (lima batu), bahkan ada juga burung-burung yang mencari makanan sejauh 20 km (12 bt) dari tempat bersarang.[10]

Rujukan

WikiPedia: Burung pucung seriap http://images.google.com/images?svnum=10&hl=en&lr=... http://www.parlimen.gov.my/files/billindex/pdf/201... https://www.google.com.my/search?hl=en&tbm=bks&ei=... https://books.google.com.my/books?id=gKfkbf9fPUYC&... https://www.nationalgeographic.com/animals/2020/09... https://animaldiversity.org/accounts/Ardea_cinerea... https://web.archive.org/web/20160112220326/http://... http://www.heronconservation.org/styled-5/styled-6... https://www.biodiversitylibrary.org/page/727050 https://archive.org/stream/Helm_Dictionary_of_Scie...